Friday, April 26, 2013

Misi Perpaduan Syiah : Suatu Penelitian.

Perhubungan Ahli Sunnah dan Syiah sama ada renggang atau erat berpunca daripada ideologi dan juga akidah bukannya disebabkan dasar hubungan sosial. Hakikatnya, orang-orang awam di kalangan Ahli Sunnah dan Syiah tidak mendalami ideologi-ideologi mazhab, akidah dan juga tidak memahami tentang pemikiran. Hubungan sosial dan kekeluargaan tetap ada di kalangan orang awam bagi kedua-dua mazhab kerana kehidupan bermasyarakat berbeza dengan hala tuju akidah kerana manusia adalah bersaudara dalam erti kata kemanusiaan. Perselisihan agama atau mazhab tidaklah merosakkan persahabatan dan tidaklah sampai mencetuskan permusuhan.

Persepsi Kebanyakan Orang Awam Dalam Isu Hubungan Ahli Sunnah dan Syiah.

Kumpulan Satu :

Golongan awam dalam Ahli Sunnah dan Syiah. Mereka beranggapan bahawa tiada perselisihan antara Ahli Sunnah dan Syiah di dalam perkara dasar (usul) iman ataupun rukun Islam ataupun perkara-perkara yang perlu diketahui dalam agama atau tiada perselisihan dalam fikah dan falsafah atau tiada perselisihan langsung dalam semua perkara.

Bagi mereka konflik yang berlaku adalah hasil daripada sangkaan buruk semata-mata disebabkan kedua-dua pihak telah hidup dalam keadaan berasingan dalam tempoh yang agak panjang. Kumpulan ini berpendapat bahawa perpaduan boleh dicapai dan perselisihan dalam masalah furu' (cabang) tidaklah membawa kepada perbalahan, tuduh-menuduh kerana memutuskan hubungan sesama Islam adalah satu penyakit yang memburukkan umat Islam. Umat Islam tidak mendapat apapun melainkan kegagalan dan kelemahan.

Kumpulan Kedua :

Golongan yang mengakui terdapat perselisihan antara kedua-dua pihak, jurang pemisah amatlah besar pada sudut akidah, sumber dan hukum yang diperolehi. Ini menjadikan jalan-jalan untuk mempereratkan kedua-duanya tertutup, tiada lagi jalan penyelesaiannya. Setiap pihak berpegang dengan pegangan mereka sendiri sehingga tiada faedah menganjurkan seminar atau mengadakan sesi rundingan. Jalan terbaik untuk memadamkan api fitnah adalah dengan meninggalkan segala perdebatan atau dialog.

Setiap pihak dengan mazhab mereka tersendiri. Di sana ada kehidupan serta kerjasama dalam urusan harian sepertimana negara-negara lain yang berlainan agama dapat menjalankan kerjasam. Ini adalah pandangan sebahagian besar bagi kedua-dua belah pihak seperti Syeikh Muhammad Zahid al-Khautsari, Syeikh Muhammad Bahjah al-Baitar (Ulama' Syam), Syeikh Muhammad al-Kholisi di Iraq dan yang terdahulu daripada mereka iaitu Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan lain-lain.

Komentar Terhadap Perpaduan Antara Ahli Sunnah dan Syiah.

Seruan ke arah usaha perpaduan masih diteruskan lagi pada masa kini. Sama ada dilakukan oleh orang perseorangan mahupun badan atau pertubuhan-pertubuhan tertentu. Malangnya ia menimbulkan kecelaruan bagi masyarakat Islam, sehingga sebahagian mereka tidak dapat membezakan "khilaf" (perbezaan yang dibenarkan) dan pegangan yang menyeleweng daripada akidah yang benar. Pada hakikatnya "pendekatan" antara Ahli Sunnah dan Syiah merupakan satu usaha "kompromi" antara perkara haq dan yang bathil.

Dr. Irfan Majid rahimahullah berpendapat bahawa dakwah atau seruan kepada penyatuan akidah berbalik kepada asal yang dicetuskan oleh kumpulan pelampau Syiah. Mereka cuba menggabungkan akidah Islam dengan pemikiran-pemikiran yang diambil daripada agama-agama dan falsafah seperti Yahudi, Nasrani dan Majusi. Maka mereka telah menemui hasil daripada percubaan iaitu apa yang dikenali sebagai dengan "Ad-Dawair al-Funusiyyah" yang cenderung kepada penyatuan dan percantuman. Kemudian ia berkembang di tangan al-Batiniah daripada pecahan al-Ismailiah dan juga Jemaah Ikhwan as-Sofa wal Qaramithah.

Dr. Nasir al-Ghifari berkata, "Percubaan untuk menyatukan kedua-dua pihak ini adalah satu permasalahan yang telah lama dan saya tidak tahu siapa yang mengambil berat merekodkan realitinya dan tidak juga untuk mengakjinya kerana permasalahan ini banyak pecahannya dalam buku tawarikh (sejarah)".

Berikut dipaparkan sebahagian badan pertubuhan pada masa dahulu mahupun kini yang berusaha mempereratkan hubungan antara Ahli Sunnah dan Syiah.

Zaman Dahulu : seperti Asy-Syeikh at-Thusi, At-Tabrasi dan Siri Perpaduan antara Ahli Sunnah dan Syiah di Baghdad

Zaman Moden : Jamaah Ikhwatul Islamiyyah dan Dar Ahlul Bait.

Individu : Syeikh Muhammad Abduh, Muhammad Rasyid Redha, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan Ahmad Mir Qasim bin Mir bin Ahmad al-Kiswari (pendakwah Syiah).

Jemaah Dan Individu Zaman Terdahulu.

1 - Asy-Syeikh ath-Thusi

Meninggal dunia pada tahun 460 H. Beliau digelar oleh Syiah sebagai Syeikh ath-Thoifah. Beliau merupakan pengarang empat kitab utama Syiah. Berkata Syeikh Abu Zahrah, "Ath-Thusi ialah orang yang pertama cuba menyatukan ideologi dan psikologi antara Syiah Dua Belas dan Kaum Muslimin (Ahli Sunnah)".

2 - At-Tabrasi

Meninggal dunia pada tahun 548 H. Beliau ialah seorang syeikh Syiah yang digelar Amin al-Islam dan pengarang kitab tafsir Majmu' al-Bayan fi Tafsir al-Quran.

Dr. Mahmoud Basyouni Fudah mengatakan bahawa seruan untuk mempereratkan sebenarnya telah lama wujud sehingga ke kurun yang keenam Hijrah iaitu pada zaman at-Tabrasi. Beliau berpendapat bahawa at-Tabrasi merupakan orang yang pertama meletakkan batu asas bagi mempererat hubungan antara Ahli Sunnah dan Syiah dalam bentuk gambaran yang terbuka dan psikologi yang tenang bagi menghilangkan jurang antara mereka. Metode pentafsirannya berdasarkan prinsip at-Taqiyyah. Sebagai bukti beliau telah menolak riwayat Ahli Sunnah dan menolak periwayatan Zaid bin Ali bin Husin RA sedangkan Zaid daripada golongan Ahlul Bait yang utama. Demikian ijmak Ahli Sunnah kerana Zaid bukan golongan Ja'fari.

Beginilah cara dan metode pentafsiran at-Tabrasi. Percubaan ath-Thusi dan at-Tabrasi ini dengan menggunakan pendekatan at-Taqiyyah telah membawa kepada penyebaran akidah Syiah di kalangan Islam. Adapun al-Majilisi dalam kitab al-Bahr iaitu salah satu kitab hadis syiah yang lapan telah menulis satu bab khas berkenaan larangan mengambil periwayatan Ahli Sunnah melainkan untuk berhujjah dengan mereka. Cara yang sama dilakukan oleh ath-Thusi dan at-Tabrasi.

Siri Perdamaian Antara Ahli Sunnah Dan Syiah Di Baghdad.

Sejarah menunjukkan bahawa perpaduan pernah berlaku antara Ahli Sunnah dan Syiah pada kurun kelima Hijrah selepas berlakunya konflik yang hebat antara kedua-dua pihak di Baghdad, bermula pada tahun 338 H. Ia merupakan fitnah yang pertama berlaku.

Pada tahun 437 H, Ahli Sunnah dan Syiah sepakat menentang puak Yahudi di Baghdad. Persepakatan ini hanya berlaku di kalangan orang awam bukannya ulama' kerana Islam memberi hak kepada Ahli Kitab. Oleh sebab itu, pakatan ini terhenti pada tahun 439 H. Pada masa itu berlaku sekali lagi fitnah besar yang mengorbankan banyak nyawa.

Pada tahun 442 H, terjadi perdamaian sekali lagi. Mereka bersama-sama menziarahi kubur Saidina Ali dan puak Syiah di al-Karakh. Mereka mula redha para sahabat. Mereka telah mula bersolat di masjid Ahli Sunnah. Ibnu Katsir berkata bahawa perkara ini benar-benar menakjubkan. Perkara ini tidak mungkin berlaku melainkan ia adalah at-Taqiyyah.

Jemaah Dan Individu Pada Zaman Moden.

1 - Jemaah Ikhwatul Islamiah.

Telah ditubuhkan pada tahun 1937 oleh Muhammad Azmi. Beliau seorang pengikut Bathini Ismaili. Beliau telah menyeru kepada penyatuan umat Islam. Usaha ini mendorong ramai daripada kalangan orang yang terkenal terlibat dalam menjayakan misi dan dakwahnya ini. Jemaah ini berpusat di Mesir kemudian di Karachi pada tahun 1948.

2 - Dar Ahlul Bait

Telah ditubuhkan oleh salah seorang pelajar ar-Rafa'i al-Husaini yang telah menggelar dirinya Imam Syiah di Republik Arab Mesir. Beliau telah menyebarkan fahaman-fahaman Syiah melalui kitab-kitabnya serta menghidupkan perayaan-perayaan dan memperkenalkan mazhab ini kepada golongan muda atas nama kecintaan terhadap Ahlul Bait.

3 - Syeikh Muhammad Abduh

Beliau antara pelopor utama dalam mengetengahkan ideologi ini yang bertujuan untuk memperdekatkan Syiah kepada kebenaran.

4 - Muhammad Rasyid Redha

Beliau pada mulanya begitu semangat tetapi akhirnya merasakan adanya rintangan daripada ulama'-ulama' Syiah yang tidak bersetuju terhadap apa sahaja yang menafikan kemaslahatan mereka dari sudut kewangan dan kedudukan mereka. Mereka tidak berhenti memfitnah Ahli Sunnah dan Khalifah ar-Rasyidin. Orang yang mencetuskan konflik ini sebenarnya ialah Mohsin Amin al-Amili. Ekoran itu, ia menyebabkan Muhammad Rasyid Redha tampil untuk menjawab segala penipuan puak Syiah.

5 - Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi.

Seorang yang terkenal dengan keperibadian yang tinggi juga turut serta dalam misi mempererat hubungan antara Ahli sunnah dan Syiah. Walaupun begitu, beliau terpaksa menghentikan seruan tu dengan berkata pada salah satu konvensyen di Qatar, "Bagaimana kita hendak berbaik-baik dan mempereratkan hubungan dengan Syiah sedangkan kita mengatakan para sahabat sepertimana firman Allah SWT dalam Surah al-Bayyinah ayat 8, 'Allah redha akan mereka dan mereka redha pemberian-Nya'. Manakala Syiah pula mencaci dan memfitnah mereka.

6 - Ahmad Mir Qasim bin Mir Ahmad al-Kisrawi.

Ada juga usaha perpaduan yang dilakukan oleh pendakwah Syiah yang ikhlas. Contohnya Ahmad Mir Qasim bin Mir Ahmad al-Kisrawi dari Tabriz, Iran. Beliau adalah pendakwah yang dibesarkan dalam persekitaran dan keluarga Syiah serta memegang jawatan penting dalam kehakiman iaitu ketua hakim. Beliau telah banyak mengetahui hakikat Syiah dan banyak menulis artikel mendedahkan prinsip Syiah. Penulisannya itu tersebar meluar ke negara-negara Arab. Selain itu, beliau mengarang sebuah kitab bahasa Arab berjudul at-Tasyayyu' wa asy-Syiah. Kitab ini mendedahkan kebatilan prinsip Syiah dan mendedahkan juga bahawa perselisihan yang berlaku antara Ahli Sunnah dan Syiah adalah disebabkan ketaasuban bukannya berdasarkan hujah yang benar. Beliau telah ditembak oleh Syiah sampai membunuhnya. Pada 1324 H beliau ditembak sekali lagi yang akhirnya menyebabkan kematiannya.

Tamat.

Dipetik daripada Majalah Q&A, isu no. 15, m/s 4-5 dan isu no. 16, m/s 4-5, oleh Datuk Haji Wan Zahidi Wan Teh, cetakan Galeri Ilmu Sdn Bhd

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Nota : Aku cumalah menyampaikan sahaja dan barangsiapa tiada merasakan diriku tiada sealiran denganmu maka tinggalkanlah tempat ini serta usah menghidupkan provokasi yang tidak membawa apa-apa kebaikan pun dengan membibitkan komen-komen atau kritikan yang tidak berilmiah lagi membina.