Sunday, April 21, 2013

Asal-Usul Syiah Dan Campuran Pengaruh Luar.

Syiah adalah suatu akidah dan pemikiran tidak lahir sekali gus. Ia berkembang mengikut perederan masa dan melalui beberapa peringkat. Kebanyakan kelahiran kumpulan-kumpulan Islam berkait rapat dengan peristiwa bersejarah yang dilalui umat Islam. Ramai pengkaji dahulu dan sekarang menegaskan bahawa Ibnu Saba' adalah pengasas bagi "mazhab" syiah. Namanya disebut secara mutawatir di dalam kitab-kitab Ahli Sunnah dan juga kitab-kitab Syiah.

Abdullah bin Saba' adalah seorang Yahudi dari Yaman. Dia adalah pengasas golongan Syiah Saba-iah yang merupakan golongan Syiah Ghulat (Pelampau). Dia telah memeluk Islam pada penghujung zaman Saidina Utsman bin Affan RA dan menjelajah ke kota-kota Islam dalam percubaannya untuk menyesatkan umat Islam. Bibit-bibit kelahiran fahaman Syiah dan asal-usul prinsipnya lahir di tangan puak-puak Syiah Saba-iah melalui pengakuan buku-buku muktabar Syiah sendiri yang mengatakan Ibnu Saba' adalah orang yang pertama menzahirkan pencelaan terhadap para Sahabat seperti Saidina Abu Bakar, Umar dan Uthman RA.

Ibnu Saba' juga menyatakan bahawa wajib bagi Saidina Ali RA menjadi imam (pemimpin) dan Saidina Ali adalah orang yang diwasiatkan oleh Nabi SAW untuk menjadi imam. Ini merupakan asas tasyayyu' seperti yang dipegang oleh tokoh-tokoh syiah dari dahulu sehingga sekarang.

Peristiwa-peristiwa yang terjadi seperti kewafatan Rasulullah SAW dan mesyuarat ats-Tsaqifah, yang mana Saidina Ali RA tidak menghadirinya untuk memberikan bai'ahnya pada awal lagi, peperangan Siffin, Majlis Tahkim, fitnah yang berlaku pada zaman Saidina Utsman RA berakhir dengan pembunuhan beliau serta peristiwa pembunuhan Saidina Hussain RA menyebabkan hati-hati umat Islam menyebelahi Ahlul Bait (anggota keluarga) Nabi SAW. Kefahaman asing melalui konsep tasyayyu' kemudiannya mula meresap dan digunakan sebagai satu helah bagi pihak yang hendak menghancurkan Islam daripada golongan mulhid (aties), munafik dan taghut (pelampau).

Dr. Nasir bin Abdullah bin Ali Ghafari dalam kitab Masalatul Taqrib baina Ahlis Sunnah wa Syiah menyatakan bahawa, "Sebahagian prinsip akidah bagi Syiah lahir di tangan Abdullah bin Saba', tetapi tidak timbul dalam bentuk kumpulan atau nama tasyayyu'. Selepas peristiwa-peristiwa yang disebutkan tadi, terutamanya selepas pembunuhan Saidina Hussain RA, Syiah mula menonjol sebagai satu kumpulan yang berkembang untuk membentuk "mazhab"nya berdasarkan prinsip-prinsip tertentu. Seterusnya pandangan yang dilontarkan Ibnu Saba' mula mendapat tempat dalam suasana pemikiran Syiah".

Para pengkaji berbeza pendapat tentang sumber bagi prinsip tasyayyu' seperti berkut :

  • Pendapat mengatakan bahawa ia berasal daripada ajaran Yahudi
  • Pendapat mengatakan ia berasal daripada ajaran Parsi.
  • Pendapat mengatakan ia berasal daripada prinsip-prinsip akidah dari kawasan Asia Klasik seperti ajaran Buddha dan selainnya.
Satu : Ibnu Saba' adalah orang yang pertama menyatakan bahawa asal-usul fahaman tasyayyu' adalah berdalilkan nas, wasiat dan ar-raj'ah (kemunculan semula Imam Mahdi). Beliau adalah seorang Yahudi. Pendapat ini menjadi prinsip kepada ajaran Syiah.

Dua : Tokoh-tokoh Syiah yang terdahulu seperti al-Kummi, al-Naubakhti dan al-Kasyi merujuk kepada prinsip-prinsip ini ketika membentang pendapat Ibnu Saba' yang kemudiannya menjadi sumber prinsip-prinsip Syiah.

Tiga : Terdapat persamaan dari aspek pemikiran antara ajaran Yahudi dan Syiah. Huraian yang paling jelas tentang apa yang diriwayatkan oleh asy-Sya'bi. Ibnu Hazm dalam kitabnya al-Fashl fi al-Milal wa Ahwa' wan Nihal berkata, "Golongan syiah telah berjalan atas landasan ajaran Yahudi yang menegaskan bahawa Nabi Ilyas AS dan Fanhas ibnu al-Az'ar ibnu Harun AS hidup sehingga sekarang".

Empat : Ibnu Taimiyah menyebutkan bahawa antara perkara yang jahil dan pegangan hawa nafsu yang terdapat dalam ajaran Syiah adalah persamaan antara mereka dengan orang Nasrani dalam satu segi dan persamaan di antara Yahudi dari segi lain. Beliau turut memetik apa yang diriwayatkan oleh asy-Sya'bi tentang persamaan mereka dengan orang Yahudi dan Nasrani.

Lima : Beberapa orang pengkaji lain juga bersependapat demikian. Antaranya ialah Prof Ahmad Amin yang mengatakan dalam Fajar al-Islam, "Fahaman tasyayyu' terdapat dalam ajaran Yahudi pada prinsip ar-Raj'ah".

Enam : Golongan Syiah berkata, "Sesungguhnya neraka adalah haram kecuali ke atas puak Syiah kecuali sedikit daripada mereka". Ia menyerupai ajaran Yahudi yang mengatakan, "Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari tertentu..." Konsep tasyayyu' juga terdapat di dalam sebahagian ajaran Nasrani yang menyatakan bahawa kaitan al-Imam dengan Allah adalah seperti perkaitan al-Masih dengan Allah".


Faktor Yang Mengaitkan Syiah Dengan Ajaran Parsi.

Faktor Pertama :

Ibnu Hazm dan al-Maqrizi menyebut bahawa golongan Parsi mempunyai kerajaan dan kuasa yang luas serta berpengaruh terhadap bangsa-bangsa lain. Mereka juga mempunyai perasaan bangga diri sehingga mereka menamakan diri mereka bangsa merdeka dan golongan para pemimpin. Mereka menganggap golongan lain adalah hamba. Apabila diduga dengan kejatuhan di tangan bangsa Arab yang dianggap satu bangsa yang mundur dan lemah, ini merupakan malapetaka yang besar bagi mereka. Mereka mula melakar rancangan terhadap Islam dengan melancarkan serangan-serangan dari semasa ke semasa. Namun pada setiap kali serangan, Allah menzahirkan kebenaran.

Mereka kemudiannya menyedari tipu daya dan rancangan muslihat akan lebih berjaya. Oleh itu sesetengah mereka menzahirkan Islam dan mengambil hati ahli-ahli tasyayyu' dengan melahirkan cinta mereka terhadap Ahlul Bait dan melahirkan kebencian mereka terhadap kezaliman Saidina Ali RA. Sebahagian anasir Parsi berselindung di sebalik penganut Syiah untuk memerangi kerajaan Umawiyah, sedangkan hakikat sebenar yang ada dalam diri mereka adalah kebencian kepada Arab dan pemerintahan mereka.

Faktor Kedua :

Orang Arab berpegang kepada kebebasan manakala orang Parsi berpegang kepada kekuasaan yang diwarisi dalam sesebuah keluarga. Mereka tidak mengenali makna pemilihan bagi khalifah Rasulullah SAW wafat tanpa meninggalkan anak lelaki. Ahli keluarga baginda ialah Saidina Ali bin Abi Talib RA. Dengan ini sesiapa yang mengambil tugas khalifah seperti Saidina Abu Bakar, Umar dan Uthman RA, maka mereka dianggap telah merampas khalifah daripada orang yang berhak.

Orang-orang Parsi juga telah biasa melihat raja mereka dengan pandangan "suci". Dengan pandangan inilah mereka melihat Saidina Ali RA dan keturunannya. Ramai daripada orang Parsi memeluk Islam tanpa membersihkan pegangan yang mereka warisi daripada nenek moyang mereka daripada iktikad mereka. Dari semasa ke semasa mereka mula menwarnakan Islam dengan corak warisan pemikiran mereka.

Syeikh Muhammad Abu Zuhrah berkata, "Kami percaya bahawa Syiah telah terpengaruh dengan pemikiran Parsi lampau tentang kerajaan dan pewarisan. Persamaan antara fahaman Syiah dan sistem Raja PArsi adalah jelas. Yang menyokong pendirian ini adalah kebanyakan golongan Syiah yang terdiri daripada penduduk Parsi dan pengikut-pengikut Syiah yang paling awal adalah berasal dari Parsi (Muhamad Abu Zahrah, Tarikh al-Mazahib al-Islamiyah, jilid 1, m/s 38).

Faktor Ketiga :

Ketika umat Islam membuka negara Parsi, al-Husain bin Ali telah berkahwin salah seorang puteri Yazdajrad, yang datang bersama tawanan perang lain. Daripada perkahwinan ini, lahir Ali bin al-Husain. Orang Parsi melihat bahawa keturunan al-Husain inilah yang layak mewarisi kerajaan Parsi. Mereka juga melihat darah yang mengalir di dalam darah Ali bin al-Husain dan keturunannya adalah darah Iran daripada sebelah bondanya, anak kepada Yazdajrad (Lihat Tarikh al-Ya'kubi, jilid 2, m/s 247). Beliau daripada keturunan salasilah raja-raja Saasan yang suci pada mereka.

Faktor Kempat :

Pengaruh Parsi terdapat dalam banyak riwayat "mazhab" Syiah Imam Dua Belas, yang mengkhususkan Salman al-Farisi RA dengan ciri-ciri dan sifat-sifat yang melampaui tahap kemanusiaan. Dalam riwayat mereka mengatakan bahawa, "Salman adalah pintu Allah, orang yang mengenalinya adalah orang Mukmin. Sesiapa mengingkarinya adalah orang kafir".

Telah menjadi lumrah bagi golongan Syiah memberikan sifat-sifat yang mereka beri kepada Imam mereka yang dua belas. Tercatat dalam riwayat palsu mereka bahawa, "Salman adalah salah seorang pengikut Syiah, kerana mereka inilah puak-puak Syiah diberi rezeki, dengan sebab mereka inilah puak-puak Syiah diberi pertolongan dan melalui mereka juga puak-puak Syiah mendapat hujan" (Lihat Rijal al-Kashi, m/s 6-7).

Bukan sekarang itu, sesetengah puak Syiah mengambil pendirian yang begitu melampau sehingga mengaitkan Salman dengan ciri-ciri ketuhanan. Puak seumpama ini telah wujud semasa zaman Abu Hasan al-Asy'ari. Beliau ada menyebut dalam artikel-artikel beliau bahawa, "Pada zaman kami, telah wujud orang-orang yang mengatakan tentang 'ketuhanan Salman al-Farisi". (Abu Hasan al-Asy'ari, Maqalat al-Islamiyyin, jilid 1, m/s 80).

Riwayat-riwayat yang terdapat di dalam kitab-kitab "mazhab" Syiah Imam Dua Belas mengandungi kebanyakan pendapat puak Syiah, termasuk yang luar biasa dan tidak diterima akal, seolah-olah kewujudan riwayat-riwayat dalam kitab-kitab ini, memberi keizinan kepada golongan lain untuk keluar daripada golongan mereka.

Perkaitan Dengan Asia Purba.

Sesetengah pengkaji menambah bahawa ajaran Syiah merupakan takungan bagi ajaran dan akidah yang datang dari Asia Purba seperti ajaran Buddha dan lain-lain. (Muhammad Abu Zahrah, Tarikh al-Mazahib al-Islamiyah, jilid 1, m/s 37)

Professor Ahmad Amin berkata, "Di bawah fahaman tasyayyu', terdapat konsep perpindahan roh". Sebahagian daripada golongan orientalis menyatakan bahawa akidah yang 'bukan Islam' menyerap ke dalam ajaran Syiah. Sesetengahnya pula berkata, mereka telah mengkaji Syiah dna mendapati bahawa ia mengandungi semua aliran dan akidah agama-agama yang diperangi oleh Islam.

Kesimpulan.

Tasyayyu' dengan erti kata suatu akidah yang berdalilkan nas bahawa Saidina Ali RA menjadi Imam, ar-Raj'ah, al-Bada', al-Ghaibah, maksum para Imam dan lain-lainnya, tidak syak lagi merupakan akidah-akidah yang datang dari luar Islam.

Semua yang mempunyai perancangan jahat, yang hidup dalam Islam sambil berpegang dengan akidah lamanya itu, daripada golongan Yahudi, Nasrani, Majusi dan lain-lain akan menggunakan tunggangan tasyayyu' ini bagi tujuan mereka. Ibnu Taimiyah berpendapat bahawa mereka yang tergolong dalam tasyayyu', mengambil ajaran-ajaran daripada akidah Parsi, Rom, Yunan, Nasrani, Yahudi dan selainnya, dan mencampuradukkan ajarna-ajaran itu dengan konsep tasyayyu'.

Tamat.

Dipetik daripada majalah Q&A, isu no. 13, m/s 5-6 dan  isu no. 14, m/s 4-5oleh Datuk Hj Wan Zahidi Wan Teh, terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Nota : Aku cumalah menyampaikan sahaja dan barangsiapa tiada merasakan diriku tiada sealiran denganmu maka tinggalkanlah tempat ini serta usah menghidupkan provokasi yang tidak membawa apa-apa kebaikan pun dengan membibitkan komen-komen atau kritikan yang tidak berilmiah lagi membina.