Friday, February 15, 2013

Rakaat Solat Tarawih Dan Solat Witir.

Setiap kali menjelang Ramadhan, umat Islam akan sibuk berlumba-lumba melakukan kebaikan dan ketaatan. Ada juga sesetengah pihak yang 'menyibukkan diri' mereka pada ini, dengan mempertikaikan kesahihan amalan-amlan yang kita laksanakan. Contohnya masalah bilangan rakaat solat Tarawih perkara berhubung solat Witir.

Jumlah Rakaat Solat Tarawih.

Menurut pendapat jumhur mazhab Hanafi, Syafi'i dan Hanbali, solat Tarawih adalah sebanyak 20 rakaat (selain solat Witir). Ini adalah berdasarkan ijtihad Saidina Umar bin al-Khattab RA. Hadis daripada ibnu Abbas berkata, "Adalah Rasulullah SAW bersolat pada bulan RAmadhan dengan tidak berjemaah sebanyak dua puluh rakaat ditambah dengan Witir". (Riwayat Imam al-Baihaqi, Imam ath-Thabarani dan Imam Abd bin Humaid).

Dalam Sunan al-Baihaqi dengan isnad yang sahih sebagaimana ucapan al-Hafiz Zainuddin al-Iraqi (1403 H) dalam kitab Syarhut Taqrib, daripada Sa'ib bin Yazid  (91 H) katanya, "Adalah para Sahabat mendirikan solat Tarawih pada zaman Umar bin al-Khattab pada bulan Ramadhan dengan dua puluh rakaat".

Hadis ini telah disahihkan oleh Imam an-Nawawi dalam kitabnya al-Khulasah dan al-Majmu', dan ia diakui sahih juga oleh az-Zayal'i dalam Nashbur Rayah, as-Subki dalam Syarhul Minhaj, Ibn al-Iraqi dalam Thorhut Tathrib, al-Aini dalam Umdatul Qari, Imam as-Suyuthi dalam al-Masabih fi Solat at-Tarawih, Ali al-Qari dalam Syarhul Muwaththo' dan an-Naimawi dalam Atsarus Sunan serta para ulama' yang lain.

Cara Ulama' Membahaskan Masalah Ini.

Imam an-Nawawi menyebutkan di dalam al-Majmu' :

"Mazhab kami adalah sesungguhnya ia 20 rakaat dengan 10 kali salam selain Witir. Jika ada lima kali rehat dan setiap sekali rehat ada empat rakaat dengan dua salam. Dan pendapat ini juga (iaitu 20 rakaat) diikuti oleh Imam Abu Hanifah dan sahabatnya, Imam Ahmad, Imam Daud (adz-Dzahiri) dan selain daripada mereka. Al-Qadhi Iyadh juga menukilkannya daripada jumhur ulama' Imam Malik berkata, solat Tarawih ada sembilan rehat iaitu 36 rakaat selain daripada witir".

Syeikh Ali Jum'ah, Mufti Kerajaan Mesir turut membahaskan isu rakaat solat Tarawih ini secara terperinci dari sudut istilah perkataan 'Tarawih' itu sendiri. Menurutnya, ia cukup jelas menunjukkan bahawa solat Tarawih adalah lebih daripada lapan rakaat. Kupasan beliau adalah seperti berikut :

  • Tarwihah (تَرَوِيحَةٌ) ertinya satu rehat. Maka ia bermakna 4 rakaat dengan 2 salam.
  • Tarwihatan (تَرْوِيحَتَانِ) ertinya dua rehat. Maka ia bermakna 8 rakaat dengan 4 salam.
  • Tarawih (تَرَوِيحٌ) ertinya banyak rehat, yakni tiga dan ke atas. Maka ia bermakna lebih daripada 8 rakaat dengan 4 salam.
Kesimpulannya, jika dikatakan tiga kali rehat bermakna minimum12 rakaat dengan 6 salam. Jumlah 12 ini tidak pernah diriwayatkan oleh mana-mana riwayat. Justeru, ijmak (sepakat) empat mazhab mengikut pendapat yang muktamad mengatakan bahawa solat Tarawih 20 rakaat iaitu 5 kali rehat dengan 10 kali salam.

Menunaikan Solat Witir Tiga Rakaat Dengan Satu Kali Salam Atau Dengan Dua Salam; Mana Yang Utama?

Menurut mazhab Syafi'i, solat Witir yang dipisahkan rakaatnya itu lebih baik. Imam an-Nawawi menyebutkan dalam Majmu'nya, 4/2 :

"Menurut beberapa pendapat para ulama', berkenaan dengan orang yang melaksanakan solat Witir tiga rakaat; apakah rakaat yang kedua dipisahkan daripada rakaat yang ketiga melalui ucapan salam terlebih dahulu? Sebenarnya kami pernah membahaskan perbezaan yang terjadi antara sahabat-sahabat kami tentang cara terbaik melakukan solat tersebut, maka menurut pandangan kami (mazhab Syafi'i), pendapat yang lebih baik dan utama adalah dengan cara memisahkannya. Dan ini adalah pendapat yang juga dikeluarkan oleh Ibnu Umar, Abdullah bin 'Iyasy bin Abi Rabiah, Mu'az al-Qari, Imam Malik, Imam Ahmad, Imam Ishaq dan Imam Abu Tsaur".

Para ulama' menggunakan kaedah, "مَا أَكْثَرَ فِعْلًا أَكْثَرَ فَضْلًا" (Apa yang banyak dibuat maka banyak pula fadhilatnya).

Jika solat Witir tiga rakaat dipisahkan, ia bermakna akan dilaksanakan dua kali takbir, dua kali tasyahhud, maka ia termasuk dalam kaedah di atas, berbanding dengan hanya melaksanakannya sekali gus.

Boleh Mengerjakan Solat Sunat Lagi Selepas Mengerjakan Solat Sunat Witir.

Ulama' ittifaq (sepakat) mengatakan bahawa selepas solat Witir, sama ada solat Witir pada bulan Ramadhan atau luar Ramadan, boleh solat sunat, sama ada solat sunat Mutlak atau solat sunat yang ada sebab. Apa yang tidak boleh adalah selepas solat-solat ini, tidak boleh ditutup dengan solat Witir kerana tidak ada dua solat witir dalam satu malam. (Lihat Subulus Salam, 1/446). Hadis daripada Aisyah RA berkata, "Sesungguhnya Nabi SAW solat sunat pada malam hari setelah solat Witir dan baginda solat dalam keadaan duduk". (Riwayat Imam Muslim).

Dalam kitab al-Fiqhul Islami wa Adilatuh, 2/75, disebutkan: "Orang yang telah solat Witir, sama ada secara berjemaah atau bersendirian, kemudian ingin solat sunat lain setelah solat Witir adalah dibolehkan, tetapi tidak boleh ditutup/diakhiri dengan solat Witir kerana tidak boleh melakukan solat Witir dalam satu malam, seperti yang disebutkan oleh Imam asy-Syafi'i. Ia bersesuaian dengan hadis sahih daripada Aisyah RA di mana Aisyah pernah ditanya tentang solat Witir dua kali dalam satu malam, beliau menjawab, itu tandanya orang itu bermain-main dengan witir".

Akhir kata, marilah kita menjadikan bulan Ramadhan sebaga medan untuk menggandakan kebajikan serta meningkatkan ilmu pengetahuan. Jangan biarkan ibadah dan keyakinan kita tercalar kerana kejahilan sendiri. Wallahua'lam.

Dikutip daripada majalah Q&A, isu no. 8, m/s 68-69, oleh Ustaz Muhadir Hj Joll.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Nota : Aku cumalah menyampaikan sahaja dan barangsiapa tiada merasakan diriku tiada sealiran denganmu maka tinggalkanlah tempat ini serta usah menghidupkan provokasi yang tidak membawa apa-apa kebaikan pun dengan membibitkan komen-komen atau kritikan yang tidak berilmiah lagi membina.