Sunday, February 17, 2013

Pandangan Syiah Terhadap Sahabat Rasulullah SAW

Dengan kedudukan imamah yang begitu penting dalam "mazhab" Syiah beserta pengertian yang tersendiri, sudah tentu ia mempengaruhi pandangan mereka terhadap para Sahabat RA, al-Quran, al-Sunnah dan apa sahaja yang berkaitan dengan Islam. Maka perbuatan mengkafirkan Khulafa' Ar-Rasyidin dan para Sahabat, memaki dan melaknat mereka menjadi sebahagian daripada asas agama yang dipanggil 'al-Bara'al min A'dai Ahli Bait (membersihkan diri daripada musuh-musuh Ahlul Bait). Malah melaknat para Sahabat khususnya Saidina Abu Bakar RA dan Saidina Umar RA dianggap suatu ibadah yang besar. Ini disebabkan dakwaan mereka para Sahabat telah membelakangkan nas dan dengan melakukan syura di saqifah Bani Saadah dan memilih Abu Bakar RA sebagai khalifah.

Bukti Syiah Membenci Sahabat Terutamanya Abu Bakar dan Umar.

Berikut ini diperturunkan tulisan para ulama' Syiah serta nas-nas yang mereka gunakan dalam melaknat para Sahabat :

Satu :

Muhammad Baqir al-Majilisi yang bergelar "Khatimatul Muhadditsin" di kalangan orang-orang Syiah menyebut dalam Bihar al-Anwar :

"Sesungguhnya hadis-hadis yang menunjukkan kekufuran Abu Bakar dan Umar dan seumpama kedua-duanya, dan pahala melaknat mereka... adalah lebih banyak daripada yang mampu disebut dalam kitab ini".

Oleh kerana berlaku banyak laknat terhadap para Sahabat dan diulangkan dalam kitab-kitab mereka maka ia diringkaskan dengan لع bermaksud "Laknatullah".

Dua :

Asy-Syaikh al-Mufid menulis dalam Awail Maqalat :

"Seluruh ulama' Imamiyah dan ramai daripada kalangan ulama' Zaidiyah telah sepakat mengatakan bahawa khalifah-khalifah yang mendahului Amirul Mukminin (Ali) adalah orang-orang yang sesat, dan tindakan mereka melewatkan Amirul Mukminin daripada kedudukan yang ditentukan oleh Rasulullah SAW menjadikan mereka orang-orang yang derhaka lagi zalim dan dengan kezaliman tersebut mereka akan kekal di dalam neraka".

Tiga :

Bagi memperdalamkan rasa kebencian umat Syiah terhadap dua khalifah Islam secara khusus (Abu Bakar dan Umar), mereka mengarang doa yang dinamakan 'doa melaknat dua berhala Quraisy'. Bahagian awal doa yang agak panjang berbunyi :

"Ya Allah, turunkan laknat-Mu ke atas dua berhala Quraisy, dua jabat dan taghutnya (pembuat kerosakan), dua anak perempuan kedua-danya yang telah menyalahi perintah-Mu. Mengingkari wahyu-Mu, mengkufuri nikmat-Mu, menderhakai Rasul-Mu, menukar agama-Mu, menyelewengkan kitab-Mu..".

Empat :

Seorang ulama' besar mereka, at-Tubrusi ketika menjelaskan kelebihan membaca doa ini menyatakan dalma kitab Fashlul Khithab :

"Sesungguhnya orang yang berdoa dengan doa ini pahalanya sama dengan orang yang pernah melontar sejuta anaka panah bersama Nabi SAW dalam peperangan Badar dan Hunain".

Bagi membuktikan bahawa pandangan terhadap para Sahabat ini merupakan pandangan Syiah di sepanjang zaman dan bahawa cakap-cakap yang lain daripada itu adalah "taqiyyah" belaka, saya perturunkan tulisan Khomeini yang merupakan rujukan Syiah yang terbesar zaman ini dalam kitabnya yang tersebar luas. Kasyful Asrar :

"Sesungguhnya kita tiada kaitan dengan Syaikhaini (Abu Bakar dan Umar) dan apa yang dilakukan oleh kedua-duanya iaitu menyalahi al-Quran, mempermain-mainkan hukum Allah, menghalal dan mengharamkan sesuka hati dan tindakan-tindakan zalim yang mereka lakukan..."

Cara Mempertahankan Kedudukan Para Sahabat

Pandangan demikian terhadap para Sahabat RA merupakan satu pendustaan terhadap ayat-ayat dan hadis yang banyak dan memuji dan menyatakan keredhaan Allah Ta'ala terhadap mereka seperti firman Allah SWT di dalam Surah at-Taubah (9) ayat 100 :

.....وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللَّـهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ

"Orang-orang yang terdahulu dan terawal (masuk Islam) daripada kalangan Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah..."

Redha Allah adalah sifat yang Qadim (kekal) dan tidak berubah. Ternyata benarlah Allah SWT dan dustalah Syiah. Antara hadis-hadis yang menernagkan kelebihan martabat para Sahabat adalah sabda Rasulullah SAW :

"Sesungguhnya Allah Ta'ala memilih sahabat-sahabatku dan melebihkan mereka ke atas sekalian alam selain daripada nabi-nabi dan rasul-rasul".

Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda :

"Orang Islam yang terbaik adalah mereka yang berada pada zamanku, kemudian zaman yang selepasnya dan seterusnya zaman yang selepasnya".

Wajib Mengakui Keadilan Sahabat

Dengan kedudukan Sahabat yang sebegitu rupa dalam mazhab Syiah, tentulah tiada tempat untuk memperkatakan mengenai "Adalatu Sahabah" (keadilan Sahabat) yang ijmak Ahlus Sunnah mengenainya. Kepercayaan ini adalah sangat penting kerana ia berkait langsung dengan kepercayaan al-Quran dan as-Sunnah.

Bagaimana kita boleh mempercayai kebenaran al-Quran dan as-Sunnah jika orang-orang yag bertanggungjawab mengumpul dan mempaikan kepada kita adalah orang-orang yang fasik, pembohong, zalim dan kafir?

Para Sahabat RA adalah saksi-saksi utama kepada kebenaran al-Quran dan sunnah. Membatalkan kepercayaan terhadap saksi, bermakna dan bertujuan membatalkan kepercayaan terhadap apa yang disaksikan.

Al-Hafiz Abu Zur'ah ar-Razi menyatakan, "Jika kamu lihat orang yang merendahkan salah seorang daripada Sahabat Rasulullah SAW, maka ketahuilah bahawa dia seorang yang zindik (munafik) kerana Rasulullah SAW adalah benar dan al-Quran juga benar. Sesungguhnya yang menyampaikan kepada kita al-Quran dan as-Sunnah adalah para Sahabat Rasulullah SAW. Mereka sebenarnya ingin menghilangkan saksi-saksi kita untuk membatalkan keyakinan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Merekalah yang lebih utama tidak boleh dipercayai dan mereka sebenarnya adalah golongan zindik".

Ibnu Katsir menyatakan, "Sesiapa yang mengatakan para Sahabat melakukan demikian (menyembunyikan wasiat Rasulullah SAW melantik Saidina Ali sebagai khalifah) maka bermakna ia telah menuduh mereka seluruhnya fasik dan bersekongkol mengingkari Rasulullah SAW. Dan menentang baginda pada apa yang telah dihukum dan nas olehnya. Sesiapa daripada manusia yang sampai ke peringkat ini maka sesungguhnya ia telah menanggalkan ikatan Islam, dan menjadi kafir dengan ijmak ulama".

Dinaqal daripada majalah Q&A, isu no. 9, m/s 5-6, oleh Datuk Hj Wan Zahidi Wan Teh, terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Nota : Aku cumalah menyampaikan sahaja dan barangsiapa tiada merasakan diriku tiada sealiran denganmu maka tinggalkanlah tempat ini serta usah menghidupkan provokasi yang tidak membawa apa-apa kebaikan pun dengan membibitkan komen-komen atau kritikan yang tidak berilmiah lagi membina.